Khamis, 17 Mei 2012

Penjajah Zionis untuk membina sebuah muzium Yahudi dari dataran al-Buraq


Khamis, 12 April 2012 -
Al-Quds International Institution (QII) telah membongkar satu perancangan baru oleh penjajah Zionis Israel untuk membina sebuah muzium yang khusus untuk ‘Sejarah Yahudi’, dari arah barat laut, di pinggir Dataran al-Buraq, bersebelahan dengan Masjid Al-Aqsa. QII berkata, setelah menunjukkan bukti bergambar, bahawa pihak Zionis merancang untuk merampas tanah seluas 3 dunum (3000 meter persegi), untuk membina muzium Yahudi, berdasarkan satu pelan terperinci dengan nombor siri 11053.

QII menyebut bahawa perancangan Zionis ini adalah satu langkah baru dalam usaha menjayakan projek pengubahsuaian Dataran Al-Buraq, seperti yang diumumkan oleh mereka secara rasmi pada 22 Oktober 2010 yang lalu, di mana mereka merancang untuk kembali menakluk kawasan tersebut, serta melakar semula pelan kawasan itu agar sesuai dengan visi Yahudi.

Perancangan ini turut mencetuskan rencana pihak Zionis penjajah untuk menghapuskan jalan di kawasan Bab (pintu) al-Magharibah, meluaskan dataran al-Buraq bagi memuatkan sinagog-sinagog Yahudi, membina kawasan parkir kereta, mengorek terowong untuk menyambungkan dataran al-Buraq dengan satu kawasan yang dipanggil ‘kawasan/hayyu Yahudi’, dan lain-lain.

QII juga menegaskan bahawa pihak penjajah Zionis sedang menuju ke arah memperbanyak ikon-ikon Yahudi bagi menunjukkan bahawa bandar al-Quds mempunyai ikon yahudi yang sangat banyak, di samping bangunan-bangunan bersejarah bagi Islam dan Kristian, semata-mata untuk menyebarkan dakwaan mereka yang dipanggil: Hak Sejarah Yahudi. Perkara ini juga adalah antara asas bagi usaha mereka dalam membina lebih banyak sinagog, muzium, taman Talmud, tempat ziarah dan banyak lagi.

QII menggesa agar semua pihak yang telah mengerah seluruh tenaga untuk menentang Zionis ketika mereka merencanakan pemusnahan Jambatan Bab Al-Magharibah sebelum ini, bersama-sama meneruskan penentangan terhadap pembinaan muzium Yahudi ini, kerana ia adalah daripada satu pelan yang juga berkait rapat dengan pemusnahan jambatan tersebut.

QII juga menggesa semua pihak yang mengambil berat tentang al-Quds, yang terdiri daripada umat Arab dan Islam, agar bersama-sama mengatur langkah dalam menghentikan semua perancangan Zionis Yahudi dalam menjadikan al-Quds sebagai Or Shalom Yahudi. Selain itu, QII turut menyeru Liga Arab, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan negara-negara yang berpotensi mengancam kedudukan Israel seperti Jordan, Mesir dan Turki, agar mendesak Majlis Keselamatan mengeluarkan resolusi bahawa semua yang dilaksanakan oleh Zionis Yahudi di Al-Quds adalah salah menurut undang-undang antarabangsa.

QII juga menegaskan bahawa Zionis penjajah tidak akan berjaya memadamkan sejarah al-Quds yang berlatarbelakang Islam dan Arab, walaupun mereka merosakkan semua ikon atau kesan-kesan sejarah tulen dan mencipta pelbagai dakwaan sejarah pro-Yahudi.


0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...